Sunday, November 4, 2012

ALUMNI UiTM MAMPU JADI ALUMNI HARVARD


SHAH ALAM - Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan sahaja mampu menyumbang dana kepada universiti itu, malah dengan kepakaran dan pengaruh mereka mampu memperkasakan universiti itu sebagai pusat pengajian tinggi yang hebat dan unggul, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata jika alumni Universiti Harvard di Amerika Syarikat boleh mewujudkan RM32 bilion dana, UiTM yang mempunyai lebih kurang 500,000 orang alumni mampu mengumpul RM50 juta jika setiap bulan seorang alumninya menyumbang RM10 seorang untuk tabung membantu lebih ramai anak bangsa melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata demikian pada Malam Simfoni Kasih 2012 UiTM di sini Sabtu malam yang dihadiri 1,200 anggota Alumni UiTM.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata beliau bukan bekas penuntut UiTM tetapi sebagai anak kepada pengasas institusi itu beliau mahu melihat wawasan dan harapan ayahandanya bekas perdana menteri kedua negara Tun Abdul Razak Hussein, direalisasi sepenuhnya.

"Saya lihat UiTM memberi limpahan amat besar kepada masyarakat kerana ia membuka peluang kepada segenap peringkat masyarakat (untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi)," katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Tabung Sumbangan Alumni UiTM dan 'Sedekah Jariah (Wakaf) UiTM'.

Perdana menteri turut menyampaikan anugerah Tokoh Alumni UiTM 2011 kepada Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd Datuk Seri Zukri Samat.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

comment please.....