Wednesday, September 12, 2012

TUKAR AGAMA ISLAM KE KRISTIAN DENGAN TAWAR BENIH SAWIT


Masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam jadi sasaran gerakan mubaligh Kristian dari luar negara yang dipercayai sudah menyusup masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesan kegiatan kumpulan itu termasuk taktik mereka yang mengumpan kumpulan sasaran dengan kebendaan.

"Setakat ini, tujuh hingga lapan kampung Orang Asli di negeri ini dikesan  sudah dimasuki kumpulan mubaligh dari negara jiran itu yang berusaha mengkristiankan saudara baru Orang Asli," katanya.

Menurutnya, kumpulan dipercayai dari Singapura, Filipina dan Indonesia itu turut menawarkan benih sawit dan getah kepada saudara baru Orang Asli.

Mohd Sahfri berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Yayasan Pahang sentiasa melakukan usaha berterusan bagi menangani kegiatan itu.

Katanya, selain menggiatkan dakwah di kampung Orang Asli, pihaknya juga menyediakan program khusus menjadikan saudara baru remaja sebagai anak angkat Yayasan Pahang melalui program Petama.

“Di samping menghantar pedakwah ke kampung Orang Asli, kita juga berusaha membawa mereka keluar dari penempatan di pedalaman. Ini kerana faktor geografi dan kemudahan asas yang masih dalam proses menyukarkan usaha dakwah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Senator Orang Asli, Muhammad Olian Abdullah memberi amaran kepada mubaligh Kristian supaya tidak menyebar ajaran agama mereka kepada saudara baru kerana ia secara jelas telah melanggar Perlembagaan Negara ini.

Menurutnya, perbuatan menyebar dakwah agama lain kepada penganut Islam bukan saja melanggar Perlembagaan Negara malah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.

"Pihak berkuasa agama di peringkat negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mubaligh Kristian yang cuba meracuni pemikiran saudara baru terutama di kawasan penempatan Orang Asli.

“Mubaligh Kristian seharusnya faham, mereka tak boleh sebarkan agama mereka kepada saudara baru Islam kerana ia jelas telah melanggar Perlembagaan Negara dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Olian berkata, bagi mengatasi isu penyebaran dakyah Kristian, agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu membuat langkah susulan bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

“Dalam hal ini, pemantapan akidah saudara baru penting. Saya berharap Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri mainkan peranan pastikan penguasaan iman saudara baru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Di Pahang misalnya, saya melihat ada tindakan yang dilakukan Muip dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah untuk mengatur pelbagai pengisian bagi tujuan pemantapan akidah,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap penempatan saudara baru Orang Asli di Pahang juga turut mempunyai penggerak masyarakat Orang Asli dari Jakim yang berperanan memberi penekanan terhadap pendidikan keagamaan kepada golongan saudara baru.

“Bagaimanapun, usaha  dakwah ini perlu dipergiatkan lagi termasuk dari segi pemantauan, dan tindakan susulan agar usaha dakwah kepada saudara baru ini tidak hanya dibuat secara bermusim,” katanya.

Muip sebelum ini pernah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, melalui enakmen itu, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

Menurutnya, penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan menasihatkan pendakwah agama lain tidak menjalankan kegiatan itu di negara ini bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

“Kegiatan penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil kepada mana-mana pendakwah agama lain kerana cuba memesongkan akidah umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas ditanya berhubung sejauh mana kuasa Muip bagi membendung penularan penyebaran dakwah agama lain di negeri ini yang dipercayai berleluasa terutama di penempatan saudara baru Orang Asli.

Wan Abdul Wahid turut mengakui usaha penyebaran agama lain kepada saudara baru Orang Asli semakin berleluasa di negeri ini dan pihaknya juga memandang serius isu itu agar ia dapat ditangani segera.

“Muip akan pastikan mereka yang sudah memeluk agama Islam terus kekal dengan ajaran Islam dan kita akui terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menggerakkan usaha-usaha penyebaran agama lain terutama kepada saudara baru,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, saudara baru diingatkan supaya terus mengamalkan ajaran Islam serta menolak dakyah mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi mereka dengan ajaran agama lain.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga boleh memantau gerakan memurtadkan saudara baru di penempatan Orang Asli bagi membendung kegiatan itu terus berleluasa pada masa depan.

“Kita minta kerjasama dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) serta pendakwah daripada Jakim memperhebatkan usaha penyebaran Islam agar tiada pihak yang cuba mempengaruhi fikiran saudara baru untuk bertukar ke agama lain,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment

comment please.....