Thursday, September 13, 2012

LORI SAMPAH DAH BELI TAPI TAK NAMPAK BAYANG LAGI


SUNGAI BESAR, 13 Sept – Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG), Budiman Zohdi mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar (MB) Selangor memberikan penjelasan secara terbuka kepada rakyat tentang isu berkaitan lori sampah bermasalah yang didakwa merupakan model lama yang tidak lagi dikeluarkan di pasaran dengan harga 14.5 juta.

Menurut beliau, MB mesti  memberi penjelasan kepada rakyat di negeri ini memandangkan terlalu banyak isu yang berlaku, terutama berkaitan sampah yang tidak pernah selesai semenjak beliau memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri Selangor sejak empat tahun yang lalu.

“Saya lihat isu sampah ini tidak pernah selesai. Selepas isu kutipan sampah, kini isu lori sampah pula. Begitu juga dengan isu-isu lain. Masalah tidak berkurangan, tetapi semakin bertambah. Jika dulu, ketika BN memerintah, masalah sebegini tidak pernah menjadi isu. Tapi hari ini, setelah kerajaan negeri beria-ria mahu menguruskan hal sampah ini, ternyata perlaksanaannya lebih teruk dari yang sebelumnya,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Katanya lagi, biarpun kerajaan negeri ada membuat kenyataan bahawa isu sampah ini telah berjaya diatasi, namun hakikatnya ia masih bermasalah dan ini dirasai sendiri oleh rakyat di negeri ini.

“Saya minta agar kepimpinan pakatan pembangkang jangan mempolitikkan hal-hal yang berkaitan dengan kemudahan rakyat. Tanganilah segala masalah itu dengan betul dan segerakan penyelesaiannya dan bukan hanya dengan memberi kenyataan retorik demi kepentingan politik mereka semata-mata. Ini tidak, isu lama belum selesai, timbul pula isu yang baru,” ujarnya kesal.

Tambahnya lagi, terlalu banyak isu-isu yang timbul dan tidak dapat ditangani oleh MB selaku ketua pentadbir negeri sehingga akhirnya mendatangkan kesulitan dan kesusahan kepada rakyat di negeri ini.

“Memang jelas hari ini Selangor ditadbir oleh kepimpinan yang lemah, yang terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan yang terbaik untuk rakyat. Terlalu banyak isu yang pelik-pelik timbul sejak empat tahun kebelakangan ini misalnya isu pasir, isu berkaitan sampah, isu Talam, isu Unisel dan beberapa isu lagi masih tidak dijawab oleh MB hingga hari ini.

“Justeru itu saya seru agar rakyat di Selangor membuka mata dan melihat sendiri bagaimana caca marbanya kerajaan PKR mentadbir negeri. Bermacam isu yang timbul,  dan ternyata ia amat berbeza dengan cara dan corak pentadbiran kerajaan BN sebelum ini. Saya minta agar rakyat Selangor mengembalikan semula pemerintahan BN di negeri ini demi untuk kebaikan kita bersama,” kata beliau. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

comment please.....