Tuesday, June 5, 2012

KARPAL AKAN TERUS BERSUARA SELAGI TIDAK MATI!!!


ENAM PULUH tahun lalu - ketika Kerajaan British gagal menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai jajahan takluknya dan negara kita diberikan nama baru Persekutuan Tanah Melayu - siapa pernah terfikir sebuah pulau warisan nenek moyang kita, akhirnya akan diperintah oleh pendatang dari luar dunia Melayu. 

Semasa Raffles menjejak kakinya di pulau yang amat strategik ini, pulau ini diperintah oleh raja yang bergelar sultan, lengkap dengan istana, para pembesar dan para penggawanya. Tetapi akibat ingin hidup leka-mewah dan lihainya (pintarnya) politik pegawai British, Sultan Husain Shah terpaksa membawa diri ke Melaka dan mangkatlah baginda di sana.

Selepas Perang Dunia Pertama, semasa UMNO mengepalai perjuangan kemerdekaan, di pulau ini ada juga parti UMNO yang kuat di samping pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain. Akhbar Utusan Melayu yang menjadi suara utama perjuangan kebangsan Melayu yang bertunjang di Semenanjung, pun bertapak di pulau ini. 

Waktu itu orang Melayu pribumi pulau ini di pandang tinggi. Para penulis, wartawan dan seniman dari Semenanjung berhijrah ke pulau ini - mencari hidup baru. Keris Mas, Usman Awang, Asraf, Wijaya Mala, Abdullah Hussain, Jamil Sulung, P.Ramlee dan Romai Noor tertawan oleh gadis Singapura. Itulah Singapura, kebanggaan kita pada zaman itu - bukan Kuala Lumpur. 

Sekarang, UMNO Singapura sudah lama terkubur dan tidak jadi sebahagian daripada sejarah moden Singapura. Orang Melayu Singapura jadi kelompok-kelompok minoriti yang hidup mengharapkan belas kasihan pemerintah. 

Dua puluh tahun lagi, dunia akan lupa bahawa di pulau ini pernah ada bangsa dan kerajaan Melayu (sekarang pun yang masih ingat hanya generasi tua seperti saya). Anak-anak keturunan Melayu yang masih tertinggal pun tak akan peduli lagi pada bangsa Melayu. Mereka sudah jadi warga Singapura.

Nyatalah sejarah telah menjadi bukti, bahawa Sultan dengan institusi istananya dan satu bangsa yang pada suatu masa dipandang tinggi, boleh hilang kedudukannya dalam masa 60 tahun saja. Sang Nila Utama dan Temasik tinggal dalam hikayat yang usang. 

Kuasa memerintah berpindah ke tangan kaum pendatang. Lalu di tengah-tengah Nusantara Melayu wujudlah sebuah negara bukan Melayu yang gagah dan makmur.

Kita gelabah dan memukul bayang-bayang

Apabila Karpal Singh mengumumkan secara terbuka: “Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri," tokoh-tokoh Melayu mengatakan, ini cita-cita yang ‘mustahil’ dapat dicapai. 

Karpal dikatakan ‘mimpi di siang hari’ dan ‘buta sejarah’. Pengerusi DAP ini dikatakan tidak memahami Perlembagaan Negara dan kedudukan serta kuasa institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong. 

Karpal memang sudah tahu dia akan diserang dengan macam-macam tuduhan. Itu pun memang salah satu tujuannya - memancing lawan. Mengacu Melayu bertinju, tetapi dia berdiri di luar gelanggang. Terciptalah satu lagi isu politik yang panas lagi sensasi menjelang pilihan raya. 

Kalau pun tidak di bibir, dalam hatinya Karpal tersenyum puas, melihat gelagat pemimpin pertubuhan dan tokoh-tokoh cendekiawan Melayu memukul bayang-bayang, terlupalah tugas penting yang perlu dikerjakan. Tokoh peguam-politik terkenal ini, gembira melihat Pas yang gelabah dan orang UMNO lawan bertengkar dengan orang Pas! Pancing politiknya dimakan. Umpannya Melayu!

Beberapa tahun lalu Karpal berikrar, jika Pas hendak menegakkan pemerintahan Islam, langkah mayatnya dulu. Provokasi politik ini menimbulkan reaksi panas dan orang Melayu di luar UMNO menyerang Pas habis-habisan, kerana masih tetap bersekongkol dengan DAP. Maka Pas pun jadi gelabah dan membatalkan perjuangan menegakkan negara Islam. 

Kali ini sekali lagi Karpal menguji pendirian politik Pas dan keutuhan politik Melayu. Yang nyata Pas gelabah lagi. Kedua-dua pemimpin besarnya mengagau-ngagau mencari-cari jawapannya.

Kata Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang, “Itu pandangan peribadi Karpal. Pas akan ikut resolusi Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui rakan-rakan parti lain dan itu merupakan keputusan parti." Ini jawapan orang politik. Tidak mahu terperangkap. Mengapa tidak berani kata, “Pas tetap mahu Perdana Menteri Melayu"? 

Apabila pemimpin Melayu tidak berani bertegas dan takut menerima risiko politik, bukanlah mustahil suatu masa nanti PM kita bukan orang Melayu. Ketakutan itulah salah satu sebab Singapura terlepas daripada tangan kita. 

Reaksi awal Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula, tak mahu buat ulasan. Hanya kata, “Karpal Singh orang tua." Maknanya, cakap orang tua tak boleh pakai kerana sudah nyanyok. Pada detik itu mungkin Nik Aziz terlupa, beliau pun sudah terlalu tua! 

Lepas itu, beliau buat komen lanjut, " Nak bukan Melayu tidak apa, asalkan beragama Islam. Mana boleh pimpin Islam kalau tidak Islam. Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang. Jadi, bangsa apa pun tak peduli." Bagi Nik Aziz, syaratnya Islam. Syarat Melayu tak perlu.

Presiden Biro Ekonomi Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Dr. Kamal Salih kata, “Selagi kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan Raja-Raja Melayu di takhta, selagi itulah hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama Persekutuan terpelihara, termasuk kedudukan Perdana Menteri di kalangan orang Melayu."

Persoalannya, bagaimana kalau perkara-perkara yang disebut oleh Dr. Kamal itu tidak ada lagi? Bagaimana kalau Perlembagaan dipinda, kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja itu diubah atau berubah? (Saya teringat kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu semasa zaman pemerintahan British dan semasa mereka menandatangani perjanjian Malayan Union.) 

Perubahan ini tidak mustahil. Dalam sistem demokrasi, kuasanya di tangan pengundi dan parti yang mendapat kuasa memerintah.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu. Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar kata, “Sebagai pemimpin dia (Karpal Singh) harus sedar negara ini kepunyaan nenek moyang Melayu sejak 4,000 tahun lalu dengan pemerintah terdiri daripada Raja-Raja Melayu dan penduduk majoriti ialah 67 peratus orang Melayu."

Persoalannya, apakah cukup kita menghadapi persaingan politik sekarang hanya dengan mengatakan “negara ini kepunyaan nenek moyang dan ada Raja-Raja Melayu sejak 4,000 tahun lalu"?

Saya rasa, sejarah dan masa lalu, bagaimana hebat pun, tiada kuasa untuk masa ini dan masa depan kita dan anak cucu kita. Jumlah 67 peratus Melayu mungkin berubah (contohnya di Pulau Pinang, dalam masa dua tahun, 18,000 sudah membawa diri). Juga yang menentukan bukanlah sangat jumlah penduduk, tetapi yang lebih penting, berapa jumlah kawasan pilihan raya yang Melayu sudah jadi minoriti atau sudah terpecah dua?

Pada masa ini memanglah cita-cita Karpal itu tak mungkin akan tercapai. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pun yakin, “PM daripada kaum Cina sesuatu yang tidak mungkin dicapai pada masa sekarang." Tegasnya, “Ahli DAP tidak boleh menjadi PM jika mereka mendapat kuasa sekarang."

Tetapi kita bercakap tentang masa depan - 10 atau 15 tahun lagi? Mengira-ngira keputusan dua atau tiga kali pilihan raya lagi - cita-cita yang disuarakan Karpal itu bukanlah sesuatu yang mustahil. 

Lebih-lebih lagi yang prihatin sekarang hampir semuanya generasi tua, berumur 60 tahun ke atas. Suara generasi muda - peringkat anak-anak dan cucu-cucu saya - hilang entah ke mana.

Jika generasi muda ini tidak ambil peduli dan hati mereka tidak tersentuh apabila Karpal kata dia mahu PM bukan Melayu, adalah petanda kuasa Raja dan bangsa Melayu akan hilang - mengulang sejarah Singapura. Suara Karpal Singh itu bukan suara peribadi. Kalau dia sudah tidak ada lagi pun, ingatlah! Suara itu tidak akan mati.

DATUK NOOR AZAM ialah bekas Ketua

Editor Buku Umum, 

Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka, 

kolumnis dan bekas Pengerusi TV3-

Artikel dipetik dari Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

comment please.....