Friday, May 11, 2012

SEMPENA HARI ULANGTAHUN UMNO KE-66: IMBAS KEMBALI SEJARAH UMNO


UMNO hari ini dikenali sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar. Ia adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran. Ia dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu.

Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu. Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.


Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.

Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai factor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.

Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.

Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat awal pergerakan kearah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara. Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur. Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.

Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum. Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.

No comments:

Post a Comment

comment please.....