Wednesday, May 2, 2012

BLOGGER ALERT! KANAK-KANAK HILANG MASIH DICARI


IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang setelah selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform di Sekolah Kebangsaan St Micheal di sini, Ahad lalu. 

Muhammad Norman Zahar gagal dikesan keluarganya ketika ingin mengambil mangsa di sekolahnya selepas selesai program berkenaan. 

Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah setelah selesai program pada jam 10 pagi. 

“Kami sudah berusaha menjejaki Muhammad Norman termasuk menerusi rakan sekolah dan sanak saudara yang menetap di sekitar Ipoh dan Taiping. 

“Kami tidak menyangka kejadian ini akan menimpa anak kami dan saya percaya ada individu yang mengambil dia sebelum disembunyikan di satu lokasi lain,” katanya yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian. 

Pada masa sama, ayah mangsa, Zahar Ahmad, 37, berkata, dia pernah menerima satu panggilan daripada seorang kanak-kanak yang memaklumkan anaknya berada bersamanya dan akan dihantar pulang. 

“Saya menunggu kepulangan anak saya di rumah namun, kelibatnya tidak muncul. Saya kemudian menyerahkan nombor telefon itu kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya. 

“Kalau ada sesiapa terjumpa dengan Muhammad Norman, saya harap dapat membawa dan menghubungi balai berhampiran,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis berkata, polis mengesahkan menerima laporan tersebut dan usaha masih dijalankan untuk mengesan kehilangan kanak-kanak itu dan menolak kemungkinan ada kaitan dengan kes culik. 

“Kita masih tidak menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa dan siasatan dilakukan mengikut kes orang hilang. 

“Kami juga sedang berusaha mengesan pemanggil yang membuat panggilan kepada keluarga itu dan orang awam yang menjumpai kanak-kanak itu boleh memaklumkan kepada balai polis berhampiran,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment

comment please.....