Saturday, April 7, 2012

RUNDINGAN MEJA BULAT NAJIB DAN MTUC SELESAI



SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di bangunan Parlimen petang semalam, antara lain menyentuh isu pindaan Akta Kerja yang muncul kontroversi sejak tahun lalu.

Sebelum ini, MTUC membantah pindaan Akta Kerja dan menggesa kerajaan membatalkan undang-undang itu atas alasan akan menghakis kebajikan dan kepentingan pekerja negara ini dalam jangka panjang.

Badan induk kesatuan sekerja itu telah mengadakan piket beberapa kali sejak Oktober lalu dan telah membuat perancangan untuk mengadakan satu perhimpunan di Putrajaya pada 13 April ini.

Sinar Harian Online difahamkan Majlis Am MTUC akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi membincangkan tindakan susulan berikutan pertemuan dengan Najib semalam.

Presiden MTUC Khalid Atan dan Setiausaha Agungnya Abdul Halim Mansor gagal dihubungi sejak petang semalam untuk mendapatkan reaksi mengenai pertemuan dengan Najib, yang pertama dalam tempoh setahun lalu.

Mohd Roszeli Majid, salah seorang Naib Presiden MTUC dalam blognya menulis bahawa Perdana Menteri memaklumkan MTUC perlu memahami keperluan tenaga kerja negara dan telah "meminta MTUC tidak terlalu ‘rigid’ terhadap pelaksanaan pekerjaan kontrak."

"Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju supaya pekerjaan kontrak seharusnya dilaksanakan secara terus dan bukan melalui orang tengah.

"Selain itu dalam ulasannya Perdana Menteri juga melontarkan pandangan supaya pelaksanaan tenaga kerja secara kontrak dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu bagi memenuhi keperluan tertentu," kata Mohd Roszeli lagi.

Pertemuan semalam turut dihadiri Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Mohd Roszeli berkata, MTUC telah membentangkan senario semasa pelaksanaan ‘contractor for labour’ yang diamalkan dalam sektor pekerjaan negara, yang membuka ruang luas pihak ketiga mengaut keuntungan dan menjejaskan pekerja dalam mendapat perlindungan terma dan syarat perkhidmatan serta perlindungan undang-undang pekerjaan.

Katanya, MTUC juga membangkitkan isu berkaitan bayaran elaun dan gaji yang telah dilanjutkan tempohnya sebulan dari tarikh kerja dilakukan kesan dari pindaan akta tersebut.

"MTUC dengan rasminya memohon Perdana Menteri berusaha supaya pindaan Akta Kerja dibatalkan dan dikembalikan kepada peruntukan akta yang asal," kata beliau yang juga Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah Tenaga Nasional Berhad.

Kata beliau, MTUC juga membangkitkan isu ‘union busting’ yang melibatkan industri perbankkan iaitu Maybank dengan penubuhan kesatuan dalaman Maynue, yang diluluskan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

"J. Solomon selaku Setiausaha (Agung) NUBE telah merayu Perdana Menteri campur tangan dalam isu Maybank  dan juga pembuangan kerja dua pemimpin utama NUBE," katanua sambil menambah, Perdana Menteri memaklumkan beliau mengetahui isu-isu berkaitan.

Katanya, isu berkaitan agensi Badan-Badan Berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Tabung Haji yang ketika ini tidak terpakai dengan sebarang Akta Kerja juga telah dibangkitkan oleh MTUC.

"MTUC mahukan pihak kerajaan melalui Perdana Menteri melihat semula perlindungan pekerjaan dari sudut keperluan undang-undang pekerjaan kepada kelompok pekerja ini.

"Pada masa kini segala terma dan syarat perkhidmatan agensi Badan-Badan Berkanun ini hanya ditentukan dan diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah agensi.

"Perdana Menteri menyambut baik makluman yang disampaikan oleh MTUC berhubung perkara ini dan berjanji akan mengambil tindakan perlu bagi melihat semula pelaksanaan undang-undang pekerjaan negara terhadap agensi-agensi badan berkanun," katanya.

Pada pertemuan itu, katanya, Presiden Kesatuan KTM Berhad Razak Hussein telah membangkitkan isu penolakan kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Aminuddin Adnan oleh kesatuan dan pekerja.

Kesatuan itu juga telah telah menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri berhubung perkara yang sama, kata Abdul Razak ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Menulis lanjut, Mohd Roszeli berkata, "Kesatuan Sekerja MAS (Maseu) pula membangkitkan isu penjualan ekuiti MAS kepada AirAsia."

"Pemimpin Maseu telah menolak usaha penggabungan MAS-AirAsia dan memohon Perdana Menteri membatalkan kontrak tersebut.

"Beliau juga memaklumkan AirAsia telah membawa masuk banyak pengurusan mereka ke MAS dan sokongan pekerja MAS terhadap kerajaan akan terjejas dan ini akan menyukarkan kerajaan untuk mengambil alih negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13," katanya lagi. - SINARHAIRAN

No comments:

Post a Comment

comment please.....