Monday, April 9, 2012

PEMBANGKANG PERAK DENGKI AC MIZAL JADI DUTA PERAK 2012!!!


IPOH - Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman hari ini menempelak pembangkang yang mempertikaikan pelantikan pengacara popular Datuk AC Mizal sebagai Duta Tahun Melawat Perak 2012.

Beliau berkata, perbuatan pembangkang yang tidak mengiktiraf AC Mizal sebagai anak jati negeri Perak kerana dilahirkan di Muar, Johor walaupun bapa pengacara itu adalah anak jati Perak, hanya memalukan diri sendiri mereka sahaja.

Sekiranya AC Mizal tidak diiktiraf sebagai anak jati negeri ini, maka kedudukan tujuh pemimpin pembangkang di negeri ini juga wajar dipertikaikan, katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12, pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

"Saya ingin bertanya kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis (Nga Kor Ming), adakah gugur takrif anak Perak kerana bapanya merupakan seorang guru di Kelantan ketika beliau dilahirkan di sana. Lebih menarik isu ini dibawa oleh Adun Titi Serong (Khalil Idham Lim Abdullah) yang saya difahamkan juga merupakan anak Kelantan.

"Malah, saya turut difahamkan ada tujuh rakan-rakan pembangkang yang mempunyai kad pengenalan selain 08 (Perak) iaitu Adun Jalong 06 (Pahang), Adun Pokok Assam 03 (Kelantan), Adun Changkat Jong dan Sungkai 05 (Selangor) dan Adun Tebing Tinggi 04 (Melaka).

"Kalau itulah yang menjadi permasalahan besar, saya harap atas semangat anak Perak yang dibangkitkan oleh Adun Titi Serong, semua calon-calon bukan anak kelahiran Perak termasuk Adun-Adun yang disebutkan tadi diharapkan tidak lagi diberi peluang untuk bertanding mewakili DAP, Pas serta PKR (di Perak) pada pilihan raya akan datang," katanya.

Hamidah turut menjelaskan bahawa pemilihan AC Mizal sebagai Duta Tahun Melawat Perak 2012 adalah atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan beliau yang telah menawarkan diri untuk mempromosi Perak tanpa sebarang bayaran.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa apa yang dituduh oleh Adun Pasir Panjang (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin) mengenai bayaran sebanyak RM150,000 kepada Datuk AC Mizal selaku Duta TMP 2012 merupakan satu pembohongan," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment

comment please.....