Friday, March 9, 2012

MALAYSIA DALAM TEMPOH 'MONSUN PERALIHAN'

SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan negara sedang mengalami ‘monsun peralihan’ yang bermula pada awal bulan Mac dan dijangka berterusan sehingga pertengahan atau lewat April ini.

Ketua Penolong Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Amirzudi Hashim berkata, dalam tempoh ini, ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku pada sebelah petang hingga awal malam di negeri-negeri pantai barat semenanjung.

“Untuk beberapa hari ini, cuaca dijangkakan lebih lembab disebabkan berlakunya perolakan yang lebih kuat di mana ia boleh meningkatkan aktiviti ribut petir pada sebelah petang dan lewat petang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas mengenai banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur malam kelmarin, Amirzudi berkata ia boleh berlaku dari semasa ke semasa dalam musim monsun peralihan ini.

“Sekiranya aktiviti ribut petir dan hujan lebat ini berterusan dalam jangkamasa yang lama, ia boleh menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan-kawasan berkedudukan rendah,” katanya.

Malam kelmarin, hujan lebat lebih empat jam telah menenggelamkan beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor. Seorang kanak-kanak berusia 13 tahun turut terbunuh akibat tanah runtuh. -Sinar Hairan

No comments:

Post a Comment

comment please.....