Tuesday, January 5, 2010

SI TANGGANG MODEN

SEREMBAN: Seorang pensyarah universiti yang disaman ibu bapanya kerana tidak memberi nafkah kepada mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya. Raja Suzana Kassim, 39, berkata gaji kasar RM4,400 sebulan tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan dan terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43.

Dia turut memberitahu mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank, termasuk pinjaman peribadi yang diambilnya, selain gaji diterimanya dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak.

Raja Suzana berkata demikian dalam perbicaraan untuk membuat taksiran mengenai kemampuannya membayar nafkah sepanjang hayat kepada ibu dan bapanya. Tahun lalu, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya, terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan ibu bapanya mendiami rumah di Kampung Jiboi Baru yang sudah dijual kepada orang lain, tetapi disewakan semula dengan sewa dibayar Raja Suzana.

Pada April 2007, Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isterinya, Fatimah Salleh, 64, kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim menyatakan beliau dianugerahkan sebidang tanah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, pada Ogos 1971 serta mendirikan sebuah rumah dan membesarkan lapan anak, termasuk defendan pertama. Pada 1993 Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif.

Pernyataan tuntutan turut menyatakan defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Raja Suzana juga didakwa gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu’.

Hakim kemudian menetapkan 24 Februari depan untuk membuat taksiran yang sama terhadap suaminya.



Bharian.com

No comments:

Post a Comment

comment please.....