Konco-konco ku

Sunday, January 28, 2018

KONVENSYEN PH NEGERI SEMBILAN KECOH

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan hari ini kecoh selepas kira-kira 40 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berpuas hati dengan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Protes itu dibuat di penghujung ucapan Presiden PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada konvensyen sehari itu.

Sebelum Dr Wan Azizah berucap, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan daripada 36 DUN di Negeri Sembilan, 12 kerusi diperuntukkan kepada PKR, DAP (11), Parti Amanah Negara (tujuh) dan PPBM (enam).

Ketua PPBM Bahagian Jempol Amiruddin Aman, mengetuai protes itu dengan menyifatkan pembahagian kerusi sebagai tidak adil, dan mendakwa kawasan yang diperuntukkan kepada parti itu semuanya kawasan hitam.

“Pembahagian kerusi tak seimbang. Kami sasar 12 kerusi dan kalau dapat 10 pun okay…tapi yang dapat enam yang hitam,” katanya kepada pemberita selepas konvensyen itu.

PPBM diperuntukkan kerusi DUN Palong, Seri Menanti, Chembong, Pertang, Gemencheh dan Bagan Pinang yang disifatkan sebagai kawasan hitam untuk parti itu.

Amiruddin turut mendakwa bahawa agihan kerusi tidak dibincangkan dengan PPBM negeri sebaliknya diputuskan oleh kepimpinan pusat.

“Kami tak bising soal pembahagian kerusi parlimen sebab adil dua kerusi untuk setiap parti. Sekarang pusat yang tentukan dan mereka tidak tahu pasal Negeri Sembilan, kami yang tahu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang turun daripada pentas untuk menenangkan anggota parti itu merayu anggota parti itu menerima keputusan agihan kerusi itu dengan dada yang lapang.

“Saya merayu kepada tuan-tuan untuk kita fahami keputusan yang telah diambil dan fahami juga apa kesan daripada tindakan kita kepada negeri-negeri lain.

​​​​​​​”Di Negeri Sembilan kita dah umumkan dan PPBM dapat kerusi yang terbaik dan ini pun perlukan pemahaman dan kompromi daripada parti-parti yang lain,” katanya.

Dr Wan Azizah dalam sidang media pada konvensyen itu berkata beliau sebelum ini diberikan laporan bahawa Negeri Sembilan boleh ditawan oleh PH pada PRU14.

“Tapi dengan (kekecohan) ini saya pun tak tahulah (sama ada boleh menang atau sebaliknya)…saya pun tak sangka,” katanya.

Ekoran kekecohan itu, konvensyen yang sepatutnya berakhir pada pukul 3 petang, ditamatkan serta-merta. –


No comments:

Post a Comment

comment please.....